KATA PENDAHULUAN

Bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan limpahan nikmat dan keizinan-Nya, akhirnya dapat saya susun buku kecil ini untuk dimanfaatkan oleh seluruh kaum Muslimin. Buku kecil ini pada asalnya adalah terjemahan daripada Bahasa Arab dari

“Dakwah Islamiah” di bawah seliaan ustaz saya yang saya kasihi Al-Ustaz Mustafa Yusuf Ibrahim AlMisri - semoga Allah memberkati seluruh kehidupan beliau. Kemudiannya, saya telah susunkannya semula untuk tujuan penerbitan buku kecil ini. Antara sebab terbesar yang mendorong saya melakukan terjemahan ini, apabila saya lihat betapa ramai saudara kaum Muslimin saya yang masih lagi ragu dan kabur tentang apakah sebenarnya tugas hakiki kita sebagai umat Muhammad (sollalLahu ‘alaihi wa sallam) yang dituntut untuk membenarkan

dengan hati, mengikrarkannya dengan lidah kalimah dan melaksanakan tuntutannya dengan anggota jasad kita. Jika tugas pun kita belum tahu, bagaimana pula untuk melaksanakannya pula?
Lagilah kita tidak tahu.
Segalanya dinilai melalui maksud dan fungsinya. Ambil sahaja contoh yang paling mudah, katakanlah sebuah kipas. Kipas dibeli untuk menjalankan fungsinya. Fungsi kipas atau tujuan kipas dibeli ialah untuk memberikan kerehatan dan keselesaan kepada pemiliknya. Jika kipas itu rosak dan tidak dapat menjalankan tugasnya, maka sudah pasti kipas itu akan dibaiki. Jika asyik rosak sehingga tidak dapat dibaiki untuk menjalankan tujuan ia dibeli, maka akhirnya kipas tadi akan dihumban ke tempat pembuangan sampah. Bagaimana pula jika kita sebagai seorang Muslim tidak dapat melaksanakan tugas dan tujuan kita dijadikan sebagai seorang Muslim? Ke mana agaknya Allah akan ‘humban’ kita?
Sebagai satu contoh, jika angkatan tentera negara kita tidak faham akan tugas mereka dan tidak berfungsi sebagaimana kehendak tugas mereka, apa yang akan terjadi kepada negara kita? Bagaimana jika anggota polis negara kita pula yang tidak menjalankan tugas mereka, apa akan terjadi kepada masyarakat kita? Pasti keadaan akan menjadi huru-hara. Begitulah juga keadaannya, bila kita sebagai seorang Muslim tidak pasti akan tugas hakiki kita atau tidak menjalankan tugas kita, ‘huru-hara’ yang lebih dahsyat pasti akan berlaku. Maka adalah sangat penting, kita mengetahui dengan pasti, apakah tugas hakiki kita sebagai seorang Muslim!
Semoga melalui buku kecil “Apakah Tugas Hakiki Saya Sebagai Seorang Muslim?” ini, akan terjawablah segala kemusykilan, akan jelaslah segala kekaburan dan akan terhapuslah sebarang keraguan. Dengan bertawajuh kepada Allah; kita bukalah hati dan minda kita untuk merenungi dan menghayati pengertian ayat ke-108 Surah Yusuf ini. Semoga kefahaman ini pula akan mendorong kita semua untuk bangkit – pada hujung-hujung akhir zaman ini – dalam menunaikan tugas hakiki kita ini dengan penuh kesungguhan.Saya juga dengan penuh rendah hati memohon kesudian sidang pembaca sekalian untuk mengingati saya yang faqir ini di dalam doa anda sekalian yang amat berharga; juga buat ahliya saya Surina Akmal, dan juga zuriat saya Muhammad ‘Umair Al-Fawwaz, Muhammad Uwais Al-Fawwaz, Muhammad Usaid Al-Fawwaz dan Muhammad ‘Ubaid Al-Fawwaz. Semoga taufik Allah sentiasa bersama kita.
Kembali ke KANDUNGAN >>
Yang mengharapkan keampunan dari Tuhannya,
Mohd Gunawan bin Che Ab. Aziz
Mahallah Surau Presint 9, Putrajaya
tugashakiki@gmail.com